Pengikut

Isnin, 8 Oktober 2012

AQIDAH DAN IMAN

Salam sejahtera buat para sahabat yang dirahmati dan dikasihi Allah sekalian. Semoga sentiasa dilindungi daripada segala kemungkaran dan kemaksiatan dan juga dipelihara akan iman kita semua daripada kesesatan dan godaan syaitan dan iblis dan juga di kalangan manusia. Salam dan selawat ke atas junjungan yang mulia Nabi Muhammad saw dan ahli-ahli keluarga serta para sahabat baginda sekalian.
    Selamat berjumpa lagi pada kesempatan masa yang Allah kurniakan kepada saya dan para sahabat sekalian dan saya pada kali ini ingin berkongsi ilmu dan pesanan yang baik-baik, yang mudah-mudahan dapat meningkatkan kesedaran diri dan ketakwaan kita kepada Allah swt. Sebagai umat islam yang mengaku beriman kepada Allah dan RasulNya, kita wajib memelihara aqidah dan iman kita agar tidak tergelincir daripada jalan yang lulus sepertimana yang telah diajar oleh para Rasul yang diutuskan Allah untuk mentauhidkan Allah dan mematuhi segala suruhan dan laranganNya. Ini kerana pada zaman sekarang terlalu banyak sekali berlaku kerosakan aqidah dan keimanan di kalangan umat islam, dek kerana kurangnya pemahaman dan penghayatan mereka terhadap agama islam dan ini ditambah lagi kejahilan umat islam dalam mendalami ilmu agama kerana lebih mementingkan kehidupan duniawi, daripada kehidupan ukhrawi.
    Seterusnya saya ingin menyenaraikan beberapa tip-tip yang harus diikuti oleh seseorang muslim yang ingin memelihara aqidah dan imannya daripada tergelincir sama ada yang disedari mahupun tanpa disedari. Antaranya ialah:
1) Ikutilah sunnah Nabi Muhammad SAW dalam segenap perkataan, perbuatan dan keluhuran akhlaknya yang tinggi.
2) Ikhlaskan niat dalam segala tindakan, semata-mata hanya Allah serta elakkan diri terjebak dalam riak sama ada dalam perkataan atau perbuatan.
3) Jadikan diri anda orang pertama melakukan kebaikan yang beroleh pahala agar dapat dicontohi oleh orang lain.
4) Elakkan diri daripada melihat serta membaca majalah-majalah atau segala sebaran am yang bersifat licah serta buku-buku yang menentang islam.
5) Biasakan dengan membaca kitab-kitab seperti Riyah As-Solihin serta Al-Azkar oleh Imam An Nawawi, Kitab Sirah Nur Al Yakin oleh Syeikh Al Khiri dan lain-lain.
6) Hendaklah anda berpegang teguh dengan kitab mazhab fikh anda dan juga jangan sekali menyeleweng daripada ahli sunnah wal jamaah.
7) Bersungguh-sungguh dalam mencari ilmu agama dengan merujuk kepada kitab-kitab dan tuan-tuan guru yang dipercayai serta mengajarnya, ini kerana sebaik-baik manusia ialah mereka yan belajar dan kemudian mengajar dengan ilmu yang telah dipelajari.
8) Jangan anda menafsirkan Al-Quran mengikut selera atau pendapat anda tanpa dirujuk kepada ilmu tafsir yang sebenar lagi soheh.
9) Usah anda bertaqlid secara membuta tuli tanpa ilmu agama.
10) Perbetulkan aqidah anda berdasarkan kitab Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad, hindari diri daripada ungkapan-ungkapan yang membawa kepada kekufuran.
11) Terimalah kebenaran, sama ada daripada yang tua mahupun yang muda, hindari diri dari sifat degil dan sombong.
12) Biasakan diri anda untuk sentiasa mendengar nasihat, bimbingan agama serta duduk dan bergaullah dengan para alim ulama dan ambillah seberapa banyak ilmu daripada mereka.Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris nabi-nabi.
13) Serah dan sediakan diri anda untuk melaksanakan segala peraturan dan undang-undang islam, kerana islam diambil daripada perkataan selamat,di dunia dan di akhirat. Jangan mengkiaskan sesuatu perkara atau urusan agama itu menurut akal anda, kerana akal itu sangat terbatas cara berfikirnya.
14) Lahirkan dalam diri, bahawa Allah SWT menyaksikan segala pergerakan anda.
15) Bertaubatlah kepada Allah setiap hari walaupun terasa tiada dosa yang kita lakukan, kerana kadangkala kita tidak menyedari akan dosa yang kita lakukan lantaran manusia sentiasa bersifat kekurangan serta memperbanyakkan istighfar kepadaNya.
16) Bertakwalah kepada Allah serta berazam bersungguh-sungguh untuk melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala tegahanNya.

Maka dengan perkongsian tersebut saya berharap dapat dijadikan panduan dan petunjuk ke arah menjadikan kita umat islam yang sentiasa berhati-hati dalam setiap tindak-tanduk dalam kehidupan di dunia yang penuh dengan cabaran dan dugaan kerana kita sebagai umat islam akan sentiasa di uji Allah SWT, maka dengan mempraktikkan tip-tip tersebut, ia akan dapat menjadi benteng dan perisai dalam berhadapan dengan segala godaan dan perancangan syaitan dan iblis yang sentiasa cuba merosakkan akidah umat islam dan berpaling daripada jalan islam yang lulus, insyaallah. Sama-samalah kita semua berdoa kepada Allah agar sentiasa dipelihara iman dan jiwa kita daripada segala tipudaya syaitan dan iblis serta dunia yang sementara ini. Sekian saya memohon maaf sekiranya ada kekurangan dalam perkongsian saya ini, kita tak sempurna, hanya Allah sahaja yang Maha Kuasa dan Maha Sempurna daripada segala makhlukNya. Sekian Wa billah wal taufik wal hidayah.


Khamis, 4 Oktober 2012

SYIRIK-MISI HIDUP SYAITAN

Assalammulaikum, selamat sejahtera diucapkan kepada para muslimin dan muslimat yang dirahmati dan dikasihi Allah sekalian. Bersyukur sekali lagi ke hadrat Allah swt di atas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita terutamanya nikmat iman dan islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi kita yang mulia, Nabi Muhammad saw yang telah menyampaikan nikmat islam ini kepada umat manusia sebagai menyampaikan amanah Allah kepada baginda untuk mendatangkan kesejahteraan dan keamanan di dunia ini dan sebagai penyelamat kepada manusia daripada kesesatan, kejahilan dan kebatilan yang lahir daripada hawa nafsu dan godaan syaitan dan iblis yang cuba menjauhkan manusia dari jalan kebenaran.
     Pada kesempatan dan masa yang berharga yang Allah kurniakan ini, saya ingin memaparkan sedikit ilmu yang saya baca dan pelajari iaitu antara salah satu daripada tujuh perkara yang boleh membawa kehancuran kepada  umat islam iaitu Syirik. Menurut sabda Rasulullah saw dalam satu hadis yang bermaksud,"Jauhilah tujuh perkara yang membawa kepada kehancuran iaitu,
    1. Syirik kepada Allah.
    2. Sihir.
    3. Membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan sebab yang dibenarkan agama.
    4. Memakan riba.
    5. Memakan harta anak yatim.
    6. Lari daripada medan jihad.
    7. Menuduh perempuan baik berzina.
    ( Riwayat Bukhari dan Muslim).
   
    Saudara dan saudara yang dikasihi Allah, sesungguhnya iblis dan syaitan adalah merupakan musuh nombor satu manusia dan sememangnya amat suka kalau manusia melakukan syirik kepada Allah swt. Kenapa demikian wahai sahabat? Ini kerana apabila seseorang itu terlibat dengan perbuatan syirik secara tak langsung akan memesongkan ydan menyesatkan akidah dan keimanan seseorang kepada Allah. Maka tujuan sebenar iblis dan syaitan adalah untuk menyesatkan seberapa ramai manusia ke lembah neraka. Allah swt juga telah berfirman dalam surah Al-Nisa, ayat 116, yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukan-Nya dengan sesuatu (apa jua),dan akan mengampunkan dosa-dosa selain kesalahan(syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu(apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.
   Maksud daripada ayat tersebut ialah apabila seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan syirik dan tidak sempat bertaubat kepada Allah, maka  sudah tentu akan terjerumus dalam kebinasaan untuk selama-lamanya di akhirat kelak. Justeru itu, syirik adalah merupakan suatu kesalahan yang amat besar yang tidak boleh dipandang remeh oleh sesiapa pun.
 
 Apakah Hakikat Syirik?

   Syirik ialah perbuatan menyekutukan Allah dalam apa juga bentuk perkataan, perbuatan atau kepercayaan. Firman Allah dalam surah Al-Maidah, ayat 72 yang bermaksud," Bahawasanya, sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah neraka."
   Perbuatan syirik boleh dibahagikan kepada dua kategori:

1) Syirik Khafi (tersembunyi)
Syirik Khafi ialah syirik yang kecil dan tersembunyi yang menyebabkan hilang atau luputnya pahala seseorang. Syirik daripada kategori ini banyak berkaitan dengan perbuatan riyak dalam beramal atau melakukan sesuatu perkara. Rasulullah pernah menasihatkan para sahabat supaya menjauhi syirik kecil, yang mana menurut Rasulullah, syirik kecil yang dimaksudkan ialah riyak dalam melakukan amalan.

2) Syirik Jali (terang dan sembunyi)

Syirik Jali ialah perbuatan syirik yang secara jelas pasti menjerumuskan seseorang ke lembah kekufuran. Syirik ini boleh berlaku melalui salahsatu daripada tiga keadaan iaitu:
   1. Menerusi Iktikad. Contohnya meragi atau menafikan Allah, berkeyakinan bahawa sistem ciptaan manusia lebih baik dan sempurna daripada sistem dan perundangan yang dicipta oleh Allah.
   2. Menerusi perbuatan atau amalan. Contohnya perbuatan menyembah patung, berhala, batu, pokok, matahari, bulan, bintang atau objek tertentu. Begitu juga termasuklah perbuatan memuja kubur atas dakwaan kubur itu keramat atau meminta bantuan bomoh yang menggunakan makhluk halus.
   3. Menerusi lidah atau perkataan. Contohnya seperti sengaja menghalalkan perkara haram atau mengharamkan sesuatu yang dihalalkan.

Sesungguhnya perbuatan syirik adalah merupakan satu kezaliman yang besar. Oleh yang demikian, adalah menjadi kewajipan kepada setiap individu Muslim untuk memastikan agar tidak terjebak dalam hasutan dan belitan syaitan itu. Kita sebagai umat islam harus menuntut ilmu dan mencari seberapa banyak ilmu agama supaya kita tak tergolong dalam golongan yang jahil tentang agama islam yang penuh dengan kebenaran dan pemberi cahaya kepada orang-orang yang beriman dan bertakwa serta ingin mencari keredaan Allah di dunia dan akhirat. Insyaallah. Semoga perkongsian ini membawa manfaat kepada kita semua dan segala kekurangan yang ada ,saya memohon keampunan kepada Allah swt. Semoga kita semua dikurniakan taufik dan hidayah oleh Allah. Sekian sampai ketemu lagi. Wabillah wa taufik wal hidayah. Wasalam.


SUMBER RUJUKAN: MAJALAH AL-USTAZ


Selasa, 2 Oktober 2012

PERSOALAN JAMAK DAN QASAR SOLAT FARDU

Salam sejahtera kepada para sahabat yang diberkati dan dirahmati Allah. Selawat dan salam kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad saw dan juga kepada ahli keluarga dan juga para sahabat baginda yang dirahmati Allah. Bersyukur saya kehadrat Allah swt kerana dikurniakan nikmat yang tidak terhitung banyak buat kita manusia yang merupakan hambanya yang sangat bergantung kepada Allah dalam setiap pergerakan dan perjalanan hidup di dunia ini.
    Selamat bertemu kembali dalam ruangan perkongsian saya yang serba daif ini, sesungguhnya berpesan-pesan kepada kebaikan dan kebenaran adalah merupakan cara hidup islam yang sebenar. Pada kesempatan kali ini ana ingin berkongsi ilmu tentang persoalan-persoalan yang sering timbul dan masih banyak lagi kekeliruan di kalangan masyarakat islam kerana kecetekan ilmu dan ketidakpekaan mereka sendiri dalam mempelajari ilmu fekah yang sememang merupakan suatu kewajipan kepada mereka yang mukallaf. Bah kata pepatah malu bertanya sesat jalan. Rasa segan biarlah bertempat supaya kita tidak terus tenggelam dalam kejahilan yang seterusnya boleh merugikan kita di dunia dan di akhirat.
   Para sahabat yang dikasihi Allah sekalian, seterusnya saya ingin membawa saudari dan saudara berkenaan tentang soalan yang perlu kita tanya tentang  Jamak dan Qasar solat fardu, sebelum musafir (berniat melakukan suatu perjalanan dari suatu tempat bagi tujuan tertentu),
   1) Persoalan pertama ialah tentang tujuan musafir?
   -iaitu haram musafir kalau tujuan seperti pergi merompak dan berjudi. Hukumnya, tidak boleh Jamak/Qasar solat menurut jumhur ulama.
   -Wajib musafir kalau tujuan seperti menunaikan haji, umrah pertama dan berjihad.
   -Sunat musafir kalau tujuan seperti menziarahi saudara dan ketiga-tiga masjid suci.
   -Harus musafir kalau tujuan seperti melancong dan berdagang.
   -Makruh musafir seperti bermusafir berseorangan.

  2) Persoalan kedua ialah adakah tempat yang ditujui sejauh 81(1)/ 89(2) km?
    -Kurang dari 81 kilometer. Hukumnya, tidak boleh jamak/qasar solat.

  3) Persoalan ketiga ialah adakah anda pasti berapa lama tinggal /singgah di tempat yang ditujui?
   -Sekirannya tidak pasti tempohnya tinggal di situ kerana melakukan tugas yang belum tentu bila selesainya( boleh jadi satu hari atau berlanjutan), maka boleh menjamakkan/menqasarkan solat sepanjang berada di situ sehingga 18 hari sahaja (kiraan tidak termasuk hari perjalanan pergi dan pulang). Jika urusannya masih belum selesai, maka pada hari ke-19, kena mula bersolat tamam(sempurna 4 rakaat).

  4) Persoalan keempat ialah adakah anda merancang untuk singgah/tinggal di tempat tersebut tidak lebih 3 hari? (kiraan tidak termasuk hari perjalanan pergi dan pulang).
  -Sekiranya hanya merancang untuk tinggal di tempat tersebut selama sehari, dau atau tiga hari sahaja( kiraan tidak termasuk hari perjalanan pergi dan pulang), maka boleh menjamakkan/menqasarkan solat sepanjang tempoh berada di situ.
  -Sekiranya merancang untuk singgah atau tinggal di tempat tersebut selama empat hari atau lebih (kiraan tidak termasuk hari perjalanan pergi dan pulang), maka tidak boleh menjamakkan/menqasarkan solat. Kita dikira bermukim sebaik sampai disana. Maka wajib melakukan solat secara penuh. Walau bagaimanapun tetap masih boleh jama/qasar sepanjang dalam perjalanan pergi dan balik, dengan syarat keluar dari kawasan tempat bermukim.

Sekian sampai disini saja perkongsian kita,semoga di kurniakan taufik dan hidayah oleh Allah SWT.Terima kasih kepada yang sudi membelek coretan yang tidak seberapa ini, wabillah wal taufik wal hidayah.wasalam.


SUMBER RUJUKAN: MAJALAH AL-USTAZ