SYIRIK-MISI HIDUP SYAITAN
Assalammulaikum, selamat sejahtera diucapkan kepada para muslimin dan muslimat yang dirahmati dan dikasihi Allah sekalian. Bersyukur sekali lagi ke hadrat Allah swt di atas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita terutamanya nikmat iman dan islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi kita yang mulia, Nabi Muhammad saw yang telah menyampaikan nikmat islam ini kepada umat manusia sebagai menyampaikan amanah Allah kepada baginda untuk mendatangkan kesejahteraan dan keamanan di dunia ini dan sebagai penyelamat kepada manusia daripada kesesatan, kejahilan dan kebatilan yang lahir daripada hawa nafsu dan godaan syaitan dan iblis yang cuba menjauhkan manusia dari jalan kebenaran.
Pada kesempatan dan masa yang berharga yang Allah kurniakan ini, saya ingin memaparkan sedikit ilmu yang saya baca dan pelajari iaitu antara salah satu daripada tujuh perkara yang boleh membawa kehancuran kepada umat islam iaitu Syirik. Menurut sabda Rasulullah saw dalam satu hadis yang bermaksud,"Jauhilah tujuh perkara yang membawa kepada kehancuran iaitu,
1. Syirik kepada Allah.
2. Sihir.
3. Membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan sebab yang dibenarkan agama.
4. Memakan riba.
5. Memakan harta anak yatim.
6. Lari daripada medan jihad.
7. Menuduh perempuan baik berzina.
( Riwayat Bukhari dan Muslim).
Saudara dan saudara yang dikasihi Allah, sesungguhnya iblis dan syaitan adalah merupakan musuh nombor satu manusia dan sememangnya amat suka kalau manusia melakukan syirik kepada Allah swt. Kenapa demikian wahai sahabat? Ini kerana apabila seseorang itu terlibat dengan perbuatan syirik secara tak langsung akan memesongkan ydan menyesatkan akidah dan keimanan seseorang kepada Allah. Maka tujuan sebenar iblis dan syaitan adalah untuk menyesatkan seberapa ramai manusia ke lembah neraka. Allah swt juga telah berfirman dalam surah Al-Nisa, ayat 116, yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukan-Nya dengan sesuatu (apa jua),dan akan mengampunkan dosa-dosa selain kesalahan(syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu(apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.
Maksud daripada ayat tersebut ialah apabila seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan syirik dan tidak sempat bertaubat kepada Allah, maka sudah tentu akan terjerumus dalam kebinasaan untuk selama-lamanya di akhirat kelak. Justeru itu, syirik adalah merupakan suatu kesalahan yang amat besar yang tidak boleh dipandang remeh oleh sesiapa pun.
Apakah Hakikat Syirik?
Syirik ialah perbuatan menyekutukan Allah dalam apa juga bentuk perkataan, perbuatan atau kepercayaan. Firman Allah dalam surah Al-Maidah, ayat 72 yang bermaksud," Bahawasanya, sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah neraka."
Perbuatan syirik boleh dibahagikan kepada dua kategori:
1) Syirik Khafi (tersembunyi)
Syirik Khafi ialah syirik yang kecil dan tersembunyi yang menyebabkan hilang atau luputnya pahala seseorang. Syirik daripada kategori ini banyak berkaitan dengan perbuatan riyak dalam beramal atau melakukan sesuatu perkara. Rasulullah pernah menasihatkan para sahabat supaya menjauhi syirik kecil, yang mana menurut Rasulullah, syirik kecil yang dimaksudkan ialah riyak dalam melakukan amalan.
2) Syirik Jali (terang dan sembunyi)
Syirik Jali ialah perbuatan syirik yang secara jelas pasti menjerumuskan seseorang ke lembah kekufuran. Syirik ini boleh berlaku melalui salahsatu daripada tiga keadaan iaitu:
1. Menerusi Iktikad. Contohnya meragi atau menafikan Allah, berkeyakinan bahawa sistem ciptaan manusia lebih baik dan sempurna daripada sistem dan perundangan yang dicipta oleh Allah.
2. Menerusi perbuatan atau amalan. Contohnya perbuatan menyembah patung, berhala, batu, pokok, matahari, bulan, bintang atau objek tertentu. Begitu juga termasuklah perbuatan memuja kubur atas dakwaan kubur itu keramat atau meminta bantuan bomoh yang menggunakan makhluk halus.
3. Menerusi lidah atau perkataan. Contohnya seperti sengaja menghalalkan perkara haram atau mengharamkan sesuatu yang dihalalkan.
Sesungguhnya perbuatan syirik adalah merupakan satu kezaliman yang besar. Oleh yang demikian, adalah menjadi kewajipan kepada setiap individu Muslim untuk memastikan agar tidak terjebak dalam hasutan dan belitan syaitan itu. Kita sebagai umat islam harus menuntut ilmu dan mencari seberapa banyak ilmu agama supaya kita tak tergolong dalam golongan yang jahil tentang agama islam yang penuh dengan kebenaran dan pemberi cahaya kepada orang-orang yang beriman dan bertakwa serta ingin mencari keredaan Allah di dunia dan akhirat. Insyaallah. Semoga perkongsian ini membawa manfaat kepada kita semua dan segala kekurangan yang ada ,saya memohon keampunan kepada Allah swt. Semoga kita semua dikurniakan taufik dan hidayah oleh Allah. Sekian sampai ketemu lagi. Wabillah wa taufik wal hidayah. Wasalam.
SUMBER RUJUKAN: MAJALAH AL-USTAZ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan