AQIDAH DAN IMAN
Salam sejahtera buat para sahabat yang dirahmati dan dikasihi Allah sekalian. Semoga sentiasa dilindungi daripada segala kemungkaran dan kemaksiatan dan juga dipelihara akan iman kita semua daripada kesesatan dan godaan syaitan dan iblis dan juga di kalangan manusia. Salam dan selawat ke atas junjungan yang mulia Nabi Muhammad saw dan ahli-ahli keluarga serta para sahabat baginda sekalian.
Selamat berjumpa lagi pada kesempatan masa yang Allah kurniakan kepada saya dan para sahabat sekalian dan saya pada kali ini ingin berkongsi ilmu dan pesanan yang baik-baik, yang mudah-mudahan dapat meningkatkan kesedaran diri dan ketakwaan kita kepada Allah swt. Sebagai umat islam yang mengaku beriman kepada Allah dan RasulNya, kita wajib memelihara aqidah dan iman kita agar tidak tergelincir daripada jalan yang lulus sepertimana yang telah diajar oleh para Rasul yang diutuskan Allah untuk mentauhidkan Allah dan mematuhi segala suruhan dan laranganNya. Ini kerana pada zaman sekarang terlalu banyak sekali berlaku kerosakan aqidah dan keimanan di kalangan umat islam, dek kerana kurangnya pemahaman dan penghayatan mereka terhadap agama islam dan ini ditambah lagi kejahilan umat islam dalam mendalami ilmu agama kerana lebih mementingkan kehidupan duniawi, daripada kehidupan ukhrawi.
Seterusnya saya ingin menyenaraikan beberapa tip-tip yang harus diikuti oleh seseorang muslim yang ingin memelihara aqidah dan imannya daripada tergelincir sama ada yang disedari mahupun tanpa disedari. Antaranya ialah:
1) Ikutilah sunnah Nabi Muhammad SAW dalam segenap perkataan, perbuatan dan keluhuran akhlaknya yang tinggi.
2) Ikhlaskan niat dalam segala tindakan, semata-mata hanya Allah serta elakkan diri terjebak dalam riak sama ada dalam perkataan atau perbuatan.
3) Jadikan diri anda orang pertama melakukan kebaikan yang beroleh pahala agar dapat dicontohi oleh orang lain.
4) Elakkan diri daripada melihat serta membaca majalah-majalah atau segala sebaran am yang bersifat licah serta buku-buku yang menentang islam.
5) Biasakan dengan membaca kitab-kitab seperti Riyah As-Solihin serta Al-Azkar oleh Imam An Nawawi, Kitab Sirah Nur Al Yakin oleh Syeikh Al Khiri dan lain-lain.
6) Hendaklah anda berpegang teguh dengan kitab mazhab fikh anda dan juga jangan sekali menyeleweng daripada ahli sunnah wal jamaah.
7) Bersungguh-sungguh dalam mencari ilmu agama dengan merujuk kepada kitab-kitab dan tuan-tuan guru yang dipercayai serta mengajarnya, ini kerana sebaik-baik manusia ialah mereka yan belajar dan kemudian mengajar dengan ilmu yang telah dipelajari.
8) Jangan anda menafsirkan Al-Quran mengikut selera atau pendapat anda tanpa dirujuk kepada ilmu tafsir yang sebenar lagi soheh.
9) Usah anda bertaqlid secara membuta tuli tanpa ilmu agama.
10) Perbetulkan aqidah anda berdasarkan kitab Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad, hindari diri daripada ungkapan-ungkapan yang membawa kepada kekufuran.
11) Terimalah kebenaran, sama ada daripada yang tua mahupun yang muda, hindari diri dari sifat degil dan sombong.
12) Biasakan diri anda untuk sentiasa mendengar nasihat, bimbingan agama serta duduk dan bergaullah dengan para alim ulama dan ambillah seberapa banyak ilmu daripada mereka.Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris nabi-nabi.
13) Serah dan sediakan diri anda untuk melaksanakan segala peraturan dan undang-undang islam, kerana islam diambil daripada perkataan selamat,di dunia dan di akhirat. Jangan mengkiaskan sesuatu perkara atau urusan agama itu menurut akal anda, kerana akal itu sangat terbatas cara berfikirnya.
14) Lahirkan dalam diri, bahawa Allah SWT menyaksikan segala pergerakan anda.
15) Bertaubatlah kepada Allah setiap hari walaupun terasa tiada dosa yang kita lakukan, kerana kadangkala kita tidak menyedari akan dosa yang kita lakukan lantaran manusia sentiasa bersifat kekurangan serta memperbanyakkan istighfar kepadaNya.
16) Bertakwalah kepada Allah serta berazam bersungguh-sungguh untuk melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala tegahanNya.
Maka dengan perkongsian tersebut saya berharap dapat dijadikan panduan dan petunjuk ke arah menjadikan kita umat islam yang sentiasa berhati-hati dalam setiap tindak-tanduk dalam kehidupan di dunia yang penuh dengan cabaran dan dugaan kerana kita sebagai umat islam akan sentiasa di uji Allah SWT, maka dengan mempraktikkan tip-tip tersebut, ia akan dapat menjadi benteng dan perisai dalam berhadapan dengan segala godaan dan perancangan syaitan dan iblis yang sentiasa cuba merosakkan akidah umat islam dan berpaling daripada jalan islam yang lulus, insyaallah. Sama-samalah kita semua berdoa kepada Allah agar sentiasa dipelihara iman dan jiwa kita daripada segala tipudaya syaitan dan iblis serta dunia yang sementara ini. Sekian saya memohon maaf sekiranya ada kekurangan dalam perkongsian saya ini, kita tak sempurna, hanya Allah sahaja yang Maha Kuasa dan Maha Sempurna daripada segala makhlukNya. Sekian Wa billah wal taufik wal hidayah.
Assalamu'alaikum warahmatullahiwabarkatuh...salam ukhuwah....sebenarnyalah dien itu nasehat....terima kasih atas tulisannya yang sangat bermanfaat.... semogalah kita selalu dipeliharakan iman dari tipu daya syaitan....amiin.
BalasPadam